Khutbah Jumaat disampaikan pada 3 April 1998 bersamaan 5 Zulhijjah 1418
di Masjid Pengkalan Lebai Man, Sungai Petani

Pengenalan Kepada Teknologi Maklumat

Sidang Jumaah yang dirahmati Allah,

Di zaman keagungan tamadun Islam, dunia Islam menjadi rujukan seluruh dunia. Tokoh seperti Ibnu Sina, Ar-Razi, Al-Haitam  dan lain-lain lagi, menjadi sebutan sehingga hari ini. Tetapi selepas zaman itu berakhir, pusat kecemerlangan ilmu telah berpindah ke barat. Barat menjadi pelopor kepada teknologi-teknologi baru. Keadaan ini menunjukkan bahawa ilmu pengetahuan amat penting  dan orang yang berilmu akan menguasai orang yang tidak berilmu. Allah memberikan penghargaan yang tinggi kepada manusia yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan ilmu sebagaimana firmanNya
 
 
 

( ayat 9 surah azzumar )
 

Yang bermaksud

"(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan azab hari akhirat serta mengharapkan rahmat tuhan?" Katakanlah lagi kepadanya "adakah sama orang-orang yang mengetahui (yakni berilmu)  dengan orang-orang tidak mengetahui ?" Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pengajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

Dari ayat tersebut, Allah telah menyarankan supaya kita sentiasa mengambil pengajaran dan peringatan tentang setiap yang berlaku disekeliling kita supaya ilmu kita sentiasa dapat dikemaskinikan  Ia juga menjadi satu cabaran kepada kita. Adakah kita ini tergolong dalam orang yang berilmu ? Adakah kita boleh menguasai teknologi yang dicipta ?  Sejak barat menjadi pusat rujukan dunia, mereka telah menggunakan ketinggian ilmu dan teknologi untuk menjajah pemikiran umat Islam.

Kelewatan  kita untuk menguasai kemahiran teknologi, menyebabkan orang-orang barat begitu jauh maju ke hadapan. Contoh yang dapat dilihat dengan jelas ialah bagaimana  pihak barat menggunakan  television untuk memasukkan budaya-budaya yang tidak sesuai dengan Islam.. Mereka telah berjaya menghasilkan  pelbagai filem dan rancangan mengatasi pengeluar-pengeluar filem Islam. Oleh itu Stesyen Televsison seluruh dunia terpaksa mendapatkan bekalan daripada mereka. Kesempatan ini telah digunakan oleh mereka untuk memasukkan unsur-unsur yang tidak sesuai dengan ajaran Islam.  Apabila remaja kita berakhlak buruk, kita salahkan television. Kita tidak sepatutnya menyalahkan ALAT  itu. Sepatutnya semasa television mula diperkenalkan dahulu, kita umat Islam telah berusaha menguasai teknologi di bidang penyiaran dan menjadi pengeluar rancangan yang boleh membentuk akhlak generasi kita. Malangnya 40 tahun dulu kita tidak berupaya mengeluarkan rancangan-rancangan sebegitu tetapi sekarang  Alhamdulillah, kita telah berupaya mengeluarkan rancangan sendiri dan banyak  rancangan bercorak Agama  menjadi kegemaran umat Islam. Alangkah baiknya kalau kita mempunyai teknologi penyiaran yang canggih 40 tahun dahulu ?

Tuan-tuan sidang Jumaah yang berbahagia,

Kemunduran kita untuk menguasai teknologi dalam bidang  penyiaran harus dijadikan iktibar.  Kini, teknologi baru yang lebih hebat sudah muncul, iaitu teknologi komputer atau dikenali dengan teknologi maklumat (IT). Teknologi ini juga  dicipta di barat.  Masih kah kita mahu ketinggalan dalam ilmu ini  dan  mahu terus mengharapkan musuh Islam  membekalkan maklumat dan menyogokkan budaya mereka kepada kita ? Kalau  dalam teknologi television,  pihak barat yang membekalkan rancangan dan maklumat untuk kita, marilah kita berusaha supaya pada kali ini KITA pula yang menjadi pembekal maklumat kepada masyarakat dunia melalui komputer.

Alhamdulillah, pemerintah negara kita sudah mengambil langkah bijak untuk memajukan rakyatnya dalam bidang teknologi maklumat melalui penubuhan Korridor Raya Multimedia. Kita sepatutnya mengambil peluang dan kesempatan untuk mencorakkan generasi kita yang akan datang melalui penggunaan komputer.

Tuan-tuan sidang Jumaah yang dirahmati Allah,

Apakah  teknologi maklumat ?

Teknologi maklumat ialah  gabungan penggunaan komputer dengan alat perhubungan  lain seperti telefon, untuk mendapatkan maklumat, kemudian mengumpulnya dan akhir nya memanfaatkan maklumat. Maklumat yang disalurkan boleh  berupa gambar, tulisan, suara, video, kartun, berita dunia, berita bergambar, maklumat saham, makalah dan lain-lain lagi. Bahan-bahan yang dipaparkan dapat membentuk pemikiran dan budaya sesuatu bangsa. Antara contoh penggunaan teknologi maklumat ialah siaran langsung sembahyang tarawih dari masjidil haram Makkah, wukuf di arafah serta peristiwa lain.

Salah satu daripada kemudahan yang amat berpengaruh dalam teknologi  penggunaan komputer ialah perkhidmatan Internet. Internet adalah rangkaian komputer antarabangsa yang disambungkan dan sesiapa saja boleh menggunakannya. Ini bermakna komputer di rumah kita dapat disambungkan ke komputer-komputer lain di dunia dan boleh bertukar-tukar maklumat. Lebih  90 juta pengguna di seluruh dunia menggunakan sistem ini dan dijangka  meningkat  9 juta orang setiap bulan. Maklumat dapat diperoleh dalam beberapa saat sahaja dan terpapar di  komputer yang boleh disambungkan ke TV. Teknologi ini boleh membantu sesiapa sahaja untuk MEMBERI dan MENDAPATKAN maklumat.  Tidak syak lagi, Internet akan menjadi  alat pemberi maklumat yang sangat penting dan berpengaruh dalam  kehidupan  manusia sama seperti  bagaimana Television telah mempengaruhi kehidupan kita hari ini.
 
 
 

Sidang Jumaah yang dirahmati Allah,

Apakah peranan kita dalan hal ini ?

Peranan utama kita ialah menguasai ilmu menggunakan komputer dan Internet. Oleh kerana perkhidmatan Internet membenarkan kita menyumbang maklumat ke seluruh dunia, kita semestinya menggunakan peluang ini untuk memuatkan sebanyak mungkin maklumat-maklumat yang baik yang boleh membantu masyarakat dunia menjadi masyarakat yang berakhlak mulia. Kita boleh sebarkan dakwah Islamiah dalam Internet.
Contohnya,  khutbah yang dibaca hari ini boleh kita siarkan di Internet. Kita boleh  masukkan  teks yang berbentuk tulisan  dan juga rakaman bacaan khutbah  ke dalam internet. Untuk membolehkan seluruh dunia memahami khutbah kita, kita alihbahasakan ke bahasa Inggeris. Sekiranya  seorang  umat Islam yang berada di England, Amerika atau Afrika  misalnya, ingin  mencari maklumat tentang khutbah-khutbah yang dibaca di seluruh dunia,sudah pasti dia dapat membaca  dan memahami khutbah kita. Oleh itu maklumat yang disampaikan kepada anak Qariah Masjid Pengkalan Lebai Man ini boleh juga digunakan oleh masyarakat dunia. Begitulah hebatnya teknologi komputer dan Internet. Tetapi sekiranya  kita tidak mempunyai ilmu  menggunakan komputer dan Internet, semuanya ini tidak akan  dapat dilakukan.  Pada masa sekarang pun, sekiranya kita mencari maklumat dalam Internet sudah banyak maklumat tentang agama lain berbanding dengan dakwah Islamiah yang tersiar dalam internet.  Tetapi hari ini ramai umat Islam yang masih tidak menyedari tentang berlakunya perkara-perkara seperti ini   dalam dunia perkomputeran.

Oleh itu kita seharusnya memulakan langkah untuk menguasai ilmu ini agar komputer dan internet tidak lagi dijadikan alat untuk melemahkan kita. Hanya dengan ilmu sahajalah dapat kita gunakan alat teknologi maklumat untuk menyebarkan syiar Islam.. Kita perlu berusaha untuk memanfaatkan teknologi yang tersedia.  Sanggupkah kita berputih mata  lagi pada 10 tahun akan datang apabila  melihat  budaya dan akhlak  anak cucu  dipengaruhi oleh  maklumat yang terpesong dari ajaran Islam. Kuasailah ilmu penggunaan komputer dan jadilah penyumbang  maklumat dan ajaran Islam ke dalam  internet. Isnyaallah sekiranya setiap umat Islam dapat memberi sumbangan,  maklumat tentang Islam akan menjadi banyak  dan seterusnya dapat mengimbangi dakyah terhadap Islam.

Sidang Jumaah yang dirahmati Allah,

Islam mengamalkan pendidikan seumur hidup dan menggalakkan umatnya mencari ilmu yang berfaedah  seperti sabda Rasullullah (s.a.w)
 
 
 

Tuntutlah ilmu  oleh kamu sejak dari  buaian  ke liang lahad

Dan kita mesti berusaha mendapatkan ilmu walaupun  sukar dan sejauh mana ilmu itu berada seperti sabda  Rasulullah (s.a.w)
 
 

Carilah Ilmu walau di negeri Cina ( Riwayat Ibnu  Hadi dan Baihaqi)

Oleh yang demikian, dalam hal menambah ilmu, kita tidak punyai alasan lagi untuk berdolak dalih. Jika kita tidak mampu melaksanakannya, berikanlah peluang untuk anak cucu kita menguasai teknologi ini. Masa tidak akan menanti kita seperti mana Allah bersumpah dalam surah  Al-Asr
 
 

[leisure]