Make your own free website on Tripod.com
UCAPAN PENGETUA
PADA PERJUMPAAN STAF AKADEMIK IPDA
KALI PERTAMA  1998
PADA  4 JANUARI  1998
DI DEWAN ZAABA, INSTITUT PERGURUAN DARULAMAN

Assalamualaikum w.t.h
Yang dihormati saudara pengerusi majlis
Yang berusaha Tuan Timbalan Pengetua
Tuan Hj Abdullah bin Ali
Ketua-ketua jabatan Dan Ketua-ketua unit
Para pensyarah
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana pagi ini kita dapat bertemu dan memulakan tugas dengan lebih bersemangat dalam suasana yang ceria. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan yang telah berpindah kerana jasa dan bakti mereka semasa berada di IPDA.

Pada tahun ini, kita telah menghasilkan buku panduan ‘IPDA Ke Arah Mencipta Sejarah’. Buku ini menggariskan hala tuju yang akan menjadi panduan kita . Dengan adanya buku panduan ini, kita akan dapat menjalankan tugas dengan berwawasan berpandukan kepada objektif IPDA. Kita perlu sentiasa meneliti dan merujuk kepada wawasan dan objektif  tersebut supaya usaha ke arah mencapai matlamat yang dicita-citakan berhasil.

Sebagai pemimpin, saya mempunyai tugas untuk memimpin supaya hala tuju tidak melencong. Sebagai pentadbir, saya perlu menetapkan hala tuju yang betul seumpama meletakkan  tangga di tempat yang strategik. Selaku pengurus,  saya akan pastikan  semua pensyarah naik tangga tersebut tanpa terjatuh.  Terdapat perbezaan antara pengurus dan pentadbir. Sebagai contoh,  mengikut konsep pengurusan,  mesyuarat hari ini telah ditetapkan pada jam 2.00 petang, tetapi untuk memastikan semua pensyarah berpuashati dan mesyuarat terurus dengan baik, kita pindahkan  ke masa sekarang ini ( 10.30 pagi). Sebagai pentadbir, saya perlu mengkaji kesan perubahan masa tadi ke atas pembelajaran guru pelatih. Saya mengambil keputusan ini kerana masa yang diambil itu boleh digantikan dengan waktu lain pada petang esok.

Dalam sesuatu kepimpinan, seorang pemimpin harus bertindak mengikut keadaan dan masa. Ada kalanya seorang pemimpin berlembut dengan orang yang dipimpinnya. Sebaliknya, kita tidak boleh menyalahtafsirkan kelembutan dan tolak ansur seorang pemimpin sebagai kelemahan kerana  seorang pemimpin yang baik sudah dapat meramal tindak-tanduk orang yang dipimpinnya dan sentiasa bersedia bertindak mengikut keadaan dan masa.

Di mana kita ?

Berdasarkan kepada keadaan fizikal yang wujud, terdapat ruang-ruang di mana kemudahan di IPDA ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Sayang sekali kalau surau IPDA yang tersergam indah tidak didatangi pada waktu subuh. Begitu juga nasib perpustakaan kita pada waktu malam.  Gunakanlah setiap kemudahan dan  rebutlah  setiap peluang yang tersedia di institut ini  supaya tidak berlaku pembaziran.

Maktab adalah puncak kepada pendidikan di bidang perguruan. Dalam bidang perguruan, Maktab sepatutnya  mendahului  institusi lain,  dan sesuatu yang inovatif  sepatutnya bermula di sini. Dalam hal ini, marilah kita letakkan IPDA  sebagai institusi yang  berwibawa  dan tempat bercambahnya  ide-ide yang inovatif.

Di IPDA, segala budaya negatif mestilah dikikis. Terdapat pelatih yang kurang berminat menjadi guru.  Sudah menjadi tugas kita untuk mendidik supaya sikap mereka dapat diubah  dan seterusnya  cintakan  profesyen yang diceburi. Kita perlu mencipta hari-hari yang dinantikan. Kita mampu  membentuk satu budaya maktab yang merangkumi budaya seperti mengemporiumkan maktab. Kita ceriakan maktab  dan menarik minat guru pelatih  untuk terus berada di maktab dan bersama-sama mengalami budaya tersebut.   Kita akan membentuk satu  hari raya  guru maktab. Pada hari tersebut akan timbul perasaan kerugian sekiranya mereka tidak mahu bersama kita. Untuk merealisasikan hasrat ini, kita perlu bekerjasama dan  bermesyuarah.

Dalam mengisi pengertian maktab, setiap orang perlulah memikirkan ide-ide dan cuba mengorak langkah ke arah membina maktab yang penuh keriangan bukannya kebencian dan cemuhan. Saya berharap agar perhubungan sesama kita dieratkan. Kita perlu membuat refleksi  mengenai perhubungan kita dengan guru pelatih.

Sebagai persediaan ke arah ISO 9000, kita perlulah mendokumentasikan perkara-perkara penting. Dengan cara ini dokumen-dokumen penting seperti  sejarah dan kejayaan maktab dapat direkodkan.

Anjakan paradigma berdasarkan ilmu perlu dilakukan. Tidak ada gunanya umur yang bertambah tanpa  pertambahan ilmu. Jadikanlah umur yang bertambah selari dengan perolehan ilmu-ilmu baru.

Saya juga mengharapkan supaya kita menilai semula semua kerja yang ada. Waktu bekerja, kita berusaha bersungguh-sungguh. Contohnya, dalam penggubalan soalan, sepatutnya soalan digubal dan dibetulkan diperingkat unit dan Jabatan. Saya hanya mengesahkannya. Begitu juga dengan kerja kursus. Kerja kursus perlu  dinilai dan dibuat moderasi dengan ahli-ahli jawatankuasa. Kerja kursus terbaik dipamerkan. Kerja kursus yang baik kita serahkan kepada sekolah angkat dan pusat pengajaran dan pembelajaran yang lain.

IPDA  mencipta sejarah

Pada tahun 1998 ini,  kita akan meneruskan yang baik dan  cuba membuat sedikit perubahan.  Kita akan mengadakan malam anugerah sejarah atau bintang. Semua ini akan dibukukan untuk dibuat penilaian.

Di IPDA kita mempunyai kepakaran yang cukup . Sekiranya kita yang ramai ini bersatu dan jelas hala tuju masing-masing, sudah pasti kita dapat mencipta sejarah. Kita tidak perlu punyai emas untuk mencipta  sejarah. Rumput, kertas dan bahan-bahan yang terbuang pun boleh menjadi sumber sejarah kalau kita boleh melihat dan menilai. Jadi sesiapa yang kurang mampu, cubalah sedaya upaya untuk membuat sesuatu sebaik  mungkin. Sesiapa yang lebih berkemampuan boleh mengubahsuai, dan  sesiapa yang berkeupayaan tinggi boleh mencipta sejarah.. Apabila sudah mencapai tahap cemerlang, tuan-tuan boleh menjadi pusat rujukan.

Pentadbiran Dan Pengurusan

Ketua Jabatan bertanggungjawab penuh terhadap jabatan masing-masing. Dalam konteks pengurusan di maktab ini, saya memperkenalkan Setiausaha Kerja. Saya menghormati dan tidak akan mengambil-alih  tugas yang diamanahkan kecuali  berlaku penyelewengan . Kuasa akan diberikan sedikit demi sedikit. Oleh yang demikian, pastikan yang ianya tidak menemui kegagalan. Kalau boleh, kewangan juga akan dialirkan sedikit demi sedikit.

Setiap jabatan akan bergerak sendiri dengan konsep “Win-Win” (menang-menang). Sebagai pentadbir saya diumpamakan sebagai penggubah bunga yang mengumpul dan  menyusun  pelbagai jenis bunga  dan menjadikannya sejambak bunga yang menarik.

Pada hari Sabtu dan cuti maktab, Ketua Jabatan diminta supaya menyediakan pensyarah bertugas untuk jabatan masing-masing. Pensyarah bertugas mestilah  diberi kuasa dan mampu membuat keputusan bagi pihak Ketua Jabatan sekiranya diperlukan.
 

Perbelanjaan berhemat

Kesan dari masalah ekonomi negara sekarang, 18 % daripada belanjawan sudah dipotong. Di antara kesan yang jelas kita rasai ialah semua mesyuarat tidak boleh diadakan di hotel-hotel. Semua urusan perpindahan ditangguhkan. Kita juga tidak boleh memohon cuti termasuk cuti tanpa gaji dan pencen awal. Pinjaman kenderaan dan perumahan dibekukan. Justeru itu, kita boleh membantu IPDA untuk berjimat. Pada tahun lepas kita membelanjakan hampir RM 60,000 setiap bulan untuk membayar bil elektrik.  Kita boleh berjimat dengan menukar cara hidup kita. Contohnya,  pendingin hawa  boleh dipasang pada jam 8.30 hingga 3.30 petang. Lampu di tandas tidak perlu dipasang pada siang hari.  Penggunaan dewan besar boleh dikurangkan. Kertas boleh dijimatkan. Pemberian nota boleh diberikan dalam bentuk disket jika ianya sesuai dan menjimatkan.
 

Sekian.
 
 

[back]