PSIKOLOGI KOGNITIF DALAM PEMBINAAN BAHAN PENGAJARAN PEMBELAJARAN BERBANTUKAN KOMPUTER

Faharol Razi bin Hj.Shaari
Jabatan Teknologi Pendidikan

ABSTRAK

Rencana ini membincangkan tentang 8 aspek dalam psikologi kognitif yang bersangkutan dengan pembinaan perisian kursus(courseware) Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer(PPBK) di sekolah- sekolah. Isu yang timbul ialah, bidang pembinaan perisian kursus untuk kegunaan sekolah bagi pelbagai tahap dan mata pelajaran menjadi semakin penting kerana negara kekurangan bahan pengajaran terancang berasaskan komputer.Pelbagai pihak dalam bidang pendidikan dan swasta terlibat secara langsung dalam pembinaan perisian.Dalam proses pembinaan perisian, faktor-faktor psikologi kognitif perlu diberi perhatian supaya perisian kursus yang dihasilkan dapat digunakan dengan berkesan dalam pembelajaran.Lapan aspek yang perlu diberi pertimbangan sewajarnya dalam pembinaan perisian ialah pengamatan dan penanggapan, ingatan, pembelajaran secara aktif, motivasi, lokus kawalan, pemindahan pembelajaran dan perbezaan individu.

PENDAHULUAN

Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer atau disebut sebagai Computer Based instruction (C.B.I) adalah pengajaran terancang berasaskan komputer.Terdapat beberapa jenis PPBK yang popular, antaranya ialah jenis tutorial, latih tubi, simulasi, permainan, ujian dan penyelesaian masalah.Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer(PPBK) membolehkan pelajar berinteraksi dengan komputer pada keseluruhan ataupun sebahagian daripada pelajaran berkenaan.Pelajar akan menggunakan bahan pengajaran terancang berasaskan komputer yang yang dikenali sebagai perisian kursus (Courseware). Kini,terdapat perisian kursus dalam bentuk cakera padat yang dibina menggunakan pelbagai alat pengarangan bercirikan persembahan multimedia.Pelajar yang hendak mempelajari sesuatu tajuk hanya perlu memilih perisian kursus yang mengandungi taju yang dikehendaki.Seterusnya pelajar perlu menggunakan komputer untuk berinteraksi melalui aktiviti yang telah dirancang dalam perisian tersebut.

Isu

Satu kecenderungan yang dilihat sekarang, ialah banyak pihak menaruh minat yang tinggi untuk menghasilkan perisian kursus pendidikan yang bersifat interaktif sebagai media pengajaran.Bukti yang nyata dapat dilihat ialah penglibatan pelbagai pihak dalam bidang pendidikan melaksanakan pelbagai kursus pendedahan tentang penggunaan alat pengarangan kepada pensyarah, guru-guru dan individu lain dalam bidang pendidikan. Pusat Kegiatan Guru(PKG), institusi latihan perguruan, universiti-universiti tempatan dan Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) melaksanaan pelbagai kursus jangka pendek dan panjang untuk melatih kakitangan pelbagai peringkat tentang penggunaan alat pengarangan bagi rnembolehkan pendidik membina perisian kursus.Antara alat pengarangan yang popular sekarang termasuklah Authorware, Scala, Director, Abobe Premier, 3D extreme dan sebagainya.Walaupun kecenderungan penggunaan terhadap sesuatu penggunaan alat pengarangan akan berubah mengikut masa dan popularitinya, faktor-faktor psikologi yang menjadi teras kepada pembinaan perisian kursus tidak akan berubah. Pertimbangan terhadap faktor-faktor psikologi disebalik pembinaan bahan kursus tetap'berpaksi kepada prinsip-prinsip psikologi pembelajaran dan bahan yang dibina diharapkan memberi kesan pembelajaran yang positif dan berkesan.

Rencana ini membincangkan pentingnya pertimbangan yang perlu dari aspek psikologi kognitif dalam perancangan membina sesuatu perisian kursus.Keghairahan dalam pembinaan perisian atau disebabkan faktor komersial,kadang- kadang membuatkan pembina perisian mengabaikan prinsip-prinsip psikologi. Pembinaan perisian memerlukan satu pasukan yang mempunyai sebilangan ahli yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing- masing.Satu pasukan pembinaan perisian yang lengkap mempunyai seorang ketua, pakar kandungan pelajaran, pakar penulis perisian, pakar metodologi dan pedagogi, pakar grafik dan audio visual.

PSIKOLOGI KOGNITIF DAN PPBK

Alessi & Trollip (1991) mempercayai bahawa beberapa bidang dalam teori kognitif sangat penting dalam mereka bentuk bahan pengajaran terancang berasaskan komputer.Bidang-bidang tersebut ialah pengamatan dan penanggapan (perception and attention), ingatan (memory), kefahaman (Comprehension) pembelajaran secara aktif (active learning), motivasi, lokus kawalan (locus of control), pemindahan pembelajaran (transfer of learning), dan perbezaan individu (individual differences) .

PENGAMATAN DAN PENANGGAPAN

Pengamatan atau persepsi merupakan satu proses dimana otak kita menerima maklumat dari deria-deria kita, menyusun semula maklumat itu dan memberi makna kepadanya.Dari pengertian ini adalah jelas bahawa untuk melakukan pengamatan, kita tidak sahaja memberikan perhatian terhadap sesuatu ransangan tetapi kita hendaklah memberi makna kepada ransangan-ransangan yang tiba pada deria-deria kita (Ee Ah Meng,1994:214-215). Penanggapan merupakan satu proses pembentukan konsep.Pembelajaran bergantung kepada pengamatan pelajar terhadap sesuatu ransangan dan membuat tanggapan yang tepat terhadap sesuatu konsep yang hendak disampaikan. Dalam proses membuat tanggapan yang tepat, pelajar seringkali terganggu sekiranya terdapat terlalu banyak ransangan di sekeliling.Pengamatan mungkin terjejas pada peringkat penyampaian maklumat atau apabila ransangan yang salah diberikan . Untuk membina bahan PPBK yang berkesan, ransangan dalam bahan tersebut perlu dikurangkan agar tidak menjejaskan pengamatan pelajar terhadap subjek yang difokuskan.Sekiranya ini terjadi, proses pelajar membuat tanggapan yang tepat akan terganggu.Ransangan yang minima tetapi efektif adalah pilihan terbaik.Contoh:sekiranya kita hendak memperkenalkan kepada pelajar nama bahagian-bahagian tertentu pada sekuntum bunga raya, ransangan terbaik ialah menggunakan grafik bunga raya yang dilabelkan pada bahagian-bahagiannya.Cara ini lebih baik berbanding dengan memaparkan ayat diskriptif tentang bunga raya dan bahagian-bahagiannya.Ayat yang tidak jelas menjurus kepada pelajar membuat tanggapan yang berbeza dan tersalah tanggap.Persembahan multi media mempunyai kelebihan dalam membantu pelajar membuat tanggapan yang tepat berdasarkan pada keupayaannya mengadunkan teks, audio, grafik, video dan warna.

INGATAN

Daya ingatan manusia terhad menyebabkan proses mengingat kembali menjadi sukar.Tidak semua ransangan yang diterima akan kekal dalam ingatan.Oleh itu teknik-teknik pengajaran terancang yang efektif sangat perlu untuk membantu mengukuhkan ingatan.Dua prinsip utama yang dapat membantu mengekalkan ingatan terhadap sesuatu perkara ialah melalui prinsip-prinsip penyusunan dan pengulangan.

Umumnya, struktur penyusunan mempunyai impak yang kuat dalam membantu ingatan.Cara maklumat disusun dapat membantu pelajar mengingat dengan lebih mudah.Selain dari itu, kaedah pengulangan turut membantu pelajar dalam mengingati sesuatu fakta. Teknik pengulangan sering digunakan apabila timbunan maklumat itu tidak mempunyain struktur penyusunan yang sesuai.Pengulangan juga digunakan dalam latihan kemahiran psikomotor.

Dalam pembinaan perisian kursus, maklumat yang hendak disampaikan mestilah dirancang dengan teliti supaya tersusun mengikut prinsip- prinsip penyusunan yang boleh memudahkan pelajar mengikuti dan dapat menyimpannya dalam ingatan. Perkara ini penting kerana maklumat yang hendak disampaikan, contohnya dalam PPBK jenis tutorial, mestilah tepat dan padat. Ketepatan dan kepadatan maklumat membantu mengurangkan jumlah "bingkai"yang digunakan. Secara tidak langsung, ini akan membantu pelajar mengurangkan tugasnya untuk menyisih fakta yang kurang penting untuk dimasukkan dalam stor ingatan.

Untuk mengelakkan daripada sesuatu perisian kursus itu menjemukan, pengulangan sesuatu fakta itu perlu dipelbagaikan dan mempunyai variasi tertentu. Oleh itu, tugas ini adalah mencabar kerana memerlukan kreativiti dalam membina perisian. Keberkesanan penggunaan teknik pengulangan terletak atas kebijaksanaan pembina perisian mempelbagaikan cara-cara pengulangan sesuatu fakta tersebut.

KEFAHAMAN

Setiap yang diterima mestilah ditafsirkan dan menjadi tambahan kepada pengalaman yang sedia ada. Selain itu, pelajar perlulah mengklasifikasi, mengguna, dan menilai maklumat yang diterima.Prinsip-prinsip pembentukan konsep sangat banyak digunakan dalam rekabentuk PPBK (CBI design).Prinsip- prinsip ini termasuklah penggunaan pengalaman lalu bagi memulakan pelajaran baru, mendefinisikan konsep melalui contoh-contoh,dan menyusun semula maklumat.

PEMBELAJARAN SECARA AKTIF (ACTIVE LEARNING)

Alessi dan Trollip (1991), menyatakan bahawa "we not only learn by observing but by doing".Penglibatan pelajar dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan dapat menentukan tahap pembelajaran mereka.Lebih banyak pelajar melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti pembelajaran, lebih berkesan sesuatu pengajaran tersebut.Perisian kursus PPBK mempunyai potensi dalam menyediakan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara aktif.Ia berupaya untuk bertindak terhadap tindak balas yang diberikan oleh pelajar.Walaupun perkara ini disedari,banyak perisian kursus yang berbentuk komersil tidak dapat memenuhi kehendak ini kerana sukar untuk dilaksanakan. Oleh itu, faktor ini amat mencabar kewibawaan bakal-bakal pembina perisian kerana kesukaran untuk 1 menjadikan sesuatu perisian kursus itu mempunyai daya interaktif tinggi yang akan mendorong pembina perisian lebih teliti dalam perancangannya.

MOTIVASI

Motivasi sangat penting dalam pembelajaran.Beberapa teori motivasi dapat dipadankan dengan bahan kursus PPBK. Kaedah-kaedah tertentu seperti simulasi dan permainan dapat digunakan dalam pembelajaran bebantukan komputer.Kaedah-kaedah tersebut dapat membantu meningkatkan motivasi pelajar terhadap sesuatu pelajaran. Malone(1981), menyatakan bahawa 4 elemen yang boleh memberi motivasi ialah cabaran (challenge), perasaan ingin tahu (curiosity), kawalan (control) dan fantasi. Keller(1988), pula mencadangkan 4 faktor yang menyumbang ke arah meningkatkan motivasi iaitu, mengekalkan tumpuan (maintenance of attention), kesesuaian bahan, keyakinan pelajar dan kepuasan pelajar. Oleh itu,dalam pembinaan perisian, faktor-faktor yang dicadangkan itu perlulah diambil perhatian supaya pelajar merasa yakin dengan bahan dan aktiviti yang dijalankan. Dengan itu pelajar akan sentiasa bermotivasi untuk belajar melalui perisian kursus yang dibina.

LOKUS KAWALAN (LOCUS OF CONTROL)

Lokus kawalan adalah penting dalam sesuatu rekabentuk bahan PPBK. Kawalan ditentukan oleh dua elemen iaitu pelajar dan pelajaran (lesson) itu sendiri.Pembina perisian harus menentukan pemberatan kawalan yang patut diberikan kepada mana-mana dua elemen tersebut.Sekiranya pelajar hendak diberikan lokus kawalan yang lebih, perisian kursus yang dibina seharusnya memberikan ruang yang lebih kepada pelajar untuk memilih dengan bebas bahagian mana yang disukainya dan tidak terkongkong dalam susunan pelajaran itu. Sebagai contoh, jika sesuatu perisian kursus jenis Ujian mempunyai 10 set ujian, pelajar diberi kebebasan untuk memilih mana-mana set yang disukai . Sebaliknya jika pelajar tidak diberi ruang untuk memilih dain terpaksa menjawab ujian mengikut set-set yang ditentukan,bermula dari set pertama, diikuti oleh set kedua dan seterusnya sehingga tamat set kesepuluh, lokus kawalan sudah bertukar. Dalam kes ini, pelajaran (lesson) itu sendiri yang mengawal pembelajaran pelajar. Biasanya pembina perisian akan menentukan kadar kawalan bagi kedua-dua elemen tersebut berdasarkan kepada objektif sesuatu perisian kursus. Pembolehubah yang mempengaruhi kadar kawalan bagi sesuatu perisian ialah isi kandungan, kaedah pembelajaran dan juga bagaimana isi kandungan disusun mengikut urutan.

PEMINDAHAN PEMBELAJARAN

Proses pembelajaran yang berlaku dalam sesatu situasi dan digunakan dalam suatu situasi yang lain dikenal sebagai pemindahan pembelajaran(Ee Ah Meng,1994). Contohnya, pengetahuan tentang berat dan sukatan dapat digunakan untuk menyukat ramuan resepi memasak (Sharifah Alawiyah Alsagof,1987). Pembelajaran menggunakan bahan PPBK juga mempunyai matlamat agar apa yang dipelajari dan dialami semasa menjalankan aktiviti bersama komputer dapat digunakan dalam kehidupan seharian. Pemindahan pembelajaran dipengaruhi oleh jenis, kadar dan kepelbagaian interaksi, realisma dan kaedah yang digunakan (Alessi & Trollip,1991).

PERBEZAAN INDIVIDU

Pelajar belajar pada kadar dan cara yang berbeza- beza.Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) dipercayai mempunyai potensi paling besar yang menjurus ke arah pengajaran secara individu. Walaupun begitu, potensi ini tidak digunakan sepenuhnya.Banyak perisian kursus komersil kurang mengambil kira faktor penting ini.Perisian kursus yang baik akan mengambil kira faktor ini dan membolehkan semua jenis pelajar menggunakannya dengan berkesan.

PENUTUP

Kefahaman yang mendalam tentang faktor-faktor psikologi sangat perlu bagi pembina perisian kursus.Guru-guru adalah bakal menjadi pakar isi kandungan dan pedagogi dalam pasukan pembina perisian pada zaman sekolah Bestari.Presiden dan Ketua Eksekutif MIMOS Berhad, Datuk Dr.Tengku Mohd. Azzman Shariffadeen percaya bahawa dekad depan lebih tertumpu kepada perkembangan industri maklumat dan bergantung kepada kandungan yang muatkan dalam perisian.(Komputer,Berita Harian,OGOS,6,1997).Oleh itu guru adalah sumber penting dalam bidang pendidikan untuk menyambut kedatangan alaf baru dengan pengetahuan secukupnya dalam pembinaan perisian khususnya bahan kursus PPBK Pengetahuan tentang perlunya memberi pertimbangan sewajarnya kepada faktor-faktor psikologi dalam pembinaan perisian harus dijadikan perkara pokok.

Bibliografi.

AhMeng,Ee(1994).Psikologi dalam bilikdarjah. KualaLumpur:FajarBakti.

Alessi S.M. & Trollip R. S (1 99 1). Computer based instruction. Methods and development. (2nd.Ed.).New Jersey:Prentice Hall.

Benjafield,J.G (1992). Cognition.New Jersey:Prentice Hall

Hizral Tazzif Hisham & M.Azlan Jaafar(1997,6 OGOS).Pembangunan perisian bakal kuasai alaf depan.Komputer, Berita Harian m. s 1

Istilah Psikologi.(1 985): Dewan Bahasa Dan Pustaka

Keller,J.M & Suzuki,K .(1988).Use of ARCS motivation models in courseware design.ln D.H Jonassen (et.al ).Instructional designsfor Microcomputer Courseware.Hillsdale,N.J:Lawrence Eribaum.

Malone,T.W.(1981).Towards a theory of instrinsically motivating instruction.New Jersey:Lawrence Eribaum.


 


[back]